AYER KEROH - Hampa dan kecewa. Itulah yang dirasa seorang ibu tunggal
apabila mendapat tahu dia tidak layak menuntut wang daripada Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suami selepas kematian lelaki itu.
Sebaliknya nama waris yang tertera adalah individu lain yang didakwa sebagai ‘kekasih gelap’ suami.
M Tamil Selvee, 48, dari Taman Kesang Damai, Jasin, berkata, perkara
itu hanya disedarinya ketika tampil ke pejabat KWSP Cawangan Jasin,
Julai lalu dan pegawai terbabit menjelaskan suaminya telah menukar nama
waris kepada wanita berkenaan.
Selvee yang hanya meraih pendapatan sebanyak RM322 sebulan sebagai
tukang sapu di sebuah kuil, mengenali wanita terbabit dan tahu
hubungannya dengan suami selama ini.
“Saya memang tahu hubungan suami, tetapi apa boleh buat, sebagai isteri
saya kena patuh padanya. Tetapi saya tidak sangka dia (suami) tergamak
sehingga sanggup menukar nama waris KWSP miliknya kepada wanita itu.
“Saya puas merayu kepada wanita itu supaya memberikan sebahagian wang
itu untuk keperluan keluarga saya tetapi dia langsung tidak
mengendahkannya,” katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan
Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka, di sini, semalam.
Menurut Tamil Selvee, suaminya, Mendiang K Chellamanickam, seorang
pemandu jentolak, meninggal dunia pada Julai lalu selepas mendapat
kemalangan di tempat kerja.
Katanya, mendiang suaminya pernah mengeluarkan wang berkenaan sebelum
kematiannya beberapa bulan lalu sebaik usianya genap 50 tahun.
Ibu tunggal itu bercadang untuk mengeluarkan baki wang berkenaan yang jumlahnya lebih kurang RM31,000.
“Saya mempunyai tiga anak tetapi dua daripadanya sudah meninggal dunia
akibat sakit. Kini tinggal anak perempuan saya berusia 26 tahun tetapi
dia sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Harapan saya, wang
berkenaan dapat digunakan untuk keperluan keluarga.
“Saya ingin nasihatkan isteri-isteri di luar sana supaya semak penama
KWSP suami supaya apa yang menimpa saya tidak terjadi kepada
wanita-wanita lain yang kematian suami.
Begitu juga buat suami, jangan tergamak perlakukan isteri seperti ini,
hanya kerana terpengaruh dengan teman wanita sampai letak penama KWSP
kepada nama kekasih,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, apa yang
berlaku menunjukkan kelemahan sistem penama KWSP itu sendiri sehingga
pencarum sewenang-wenang meletakkan nama kepada sesiapa pun.
“Saya mencadangkan agar perkara ini diambil perhatian serius dengan
meletakkan nama waris kepada mereka yang benar-benar berhak seperti anak
dan isteri,” katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN