Sunday, September 11, 2011
Sayu lihat mayat bergelimpangan
ALOR SETAR 10 Sept. - "Saya melihat sendiri mayat-mayat anggota polis yang terkorban dalam keadaan menyayat hati semasa tragedi Bukit Kepong. Sebab itu jiwa saya tak tertahan apabila ada pihak yang menjulang komunis dalam peristiwa hitam itu."
Begitu luahan kekecewaan seorang bekas anggota polis, Ahmad Mat Arif, 80, terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira dalam peristiwa serangan ke atas balai polis Bukit Kepong 1950.
Menurut Ahmad, semasa peristiwa berdarah itu, dia bertugas di Balai Polis Muar, Johor dan telah diarahkan oleh ketuanya supaya ke Balai Polis Bukit Kepong bersama kira-kira 30 lagi anggota dalam 'Skuad Hutan' selepas diberitakan berlaku serangan di situ.
Dia yang menjadi anggota polis lebih 37 tahun memberitahu, suasana pilu menyelubungi kawasan itu sehingga ada yang tidak dapat berkata-kata selepas melihat keadaan mayat anggota polis dan keluarga mereka yang menyayat hati.
"Apabila tiba di sana, saya melihat mayat bergelimpangan. Ada yang hangus dan ada juga anggota polis yang luka parah. Seorang kawan saya yang baharu ditukarkan ke balai polis itu turut terkorban," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Semarak Merdeka anjuran Kumpulan Wetra di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Wetra, Datuk Abdul Muthalib Harun.
Pada majlis itu, syarikat berkenaan turut meraikan bekas anggota polis dan tentera sebagai menghargai jasa mereka menjaga keselamatan serta keamanan negara.
Sementara itu, Bendahari Kehormat Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Gurdial Singh berkata, pihaknya berasa amat tersinggung apabila mendengar kenyataan Mat Sabu yang mendakwa komunis sebagai wira dalam tragedi berkenaan.
Katanya, kenyataan itu tidak boleh dipersetujui sama sekali dan membantah sekeras-kerasnya walau dengan apa alasan sekali pun.
"Kami mahu Mat Sabu dikenakan tindakan sewajarnya berikutan kenyataannya itu," katanya.
Labels:
BERITA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
mereka la sebahagian drpd pejuang sebenar...
Post a Comment