HALAMAN

Friday, November 16, 2012

Kemalangan: Dua sahabat disemadi dalam satu liang lahad



Kemalangan: Dua sahabat disemadi dalam satu liang lahad

Lokasi dipercayai tempat berlaku kemalangan yang meragut nyawa dua sahabat baik itu.
JENGKA - Dua sahabat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 39.9 Jalan Bandar Jengka menuju ke Temerloh, tengah malam kelmarin, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, semalam.
Mangsa, Mohammad Aizat Mohammed, 17, dan Khairul Izham Khalid, 17, adalah pelajar Sekolah Menengah Felda Jengka 18 dan sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Difahamkan, kedua-dua pelajar itu bersahabat baik dan sering mengulang kaji pelajaran bersama menyebabkan kedua ibu bapa mereka mengambil keputusan mengebumikan jenazah mereka dalam satu liang lahad, di sini.
Ibu kepada Mohammad Aizat atau lebih mesra disapa Alang, Sumiah Muntalib, 51, berkata, biarpun dia dan suami, Mohamed Abdul Rahman, 56, reda dengan pemergian anaknya itu, namun jauh di sudut hati terasa kehilangan.
“Arwah seorang yang sangat ceria dan ramah dalam keluarga kami. Kami sedih kerana pemergiannya membuatkan hidup kami sedikit sunyi tanpa keletahnya.

“Lebih menyedihkan di saat akhir sebelum dia meninggal, arwah sempat menyikat rambut saya dan memeluk erat ayahnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumiah berkata, sebelum arwah keluar tengah hari kelmarin, anaknya itu menariknya masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu serta tidak membenarkan adik-beradik lain masuk.
“Di dalam bilik itu, dia menyikat rambut saya. Tidak lama kemudian, dia keluar dari bilik tersebut dan memeluk ayahnya yang tidur.
“Tidak lama kemudian datang seorang rakannya mengajaknya keluar. Dia memberitahu saya hendak mengulang kaji bersama rakan dan keluar minum. Itulah kali terakhir saya menemui arwah sebelum mendapat tahu dia meninggal akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Tiada tanda pelik

Ibu kepada Khairul Izham, Zainab Abu berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kejadian.
“Saya tidak tahu ke mana dia pergi pada hari itu kerana dia tidak memberitahu kami apa-apa. Saya cuma sedar kawannya datang menjemputnya keluar.

“Sekitar jam 11 malam, saya mula risau kerana dia masih tidak pulang, malah SMS (khidmat pesanan ringkas) kakaknya juga tidak berjawab,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, datang seorang rakan anaknya yang bertanyakan tentang arwah.

“Rakannya datang bertanya sama ada arwah ada di rumah atau tidak. Apabila saya menjawab tiada, barulah dia memberitahu arwah terlibat dengan kemalangan, namun tidak pasti benar atau tidak.

“Sedang saya berborak dengan rakan arwah, saya menerima panggilan telefon memaklumkan perkara sama. Saya dan suami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati arwah sudah tiada,” katanya.
Zainab dalam pada itu meminta kepada rakan-rakan arwah sekiranya anaknya itu ada berhutang, supaya tampil menuntutnya di rumah mereka, di sini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.15 pagi kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian, motosikal yang ditunggang Mohammad Aizat dan dibonceng Khairul Izham dipercayai dalam perjalanan dari bandar Jengka menuju rumah mereka di Felda Jengka 18.

“Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa terbabas ke kiri jalan. Motosikal yang dipandu masuk ke dalam longkang dan melanggar tebing batu. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

3 comments:

org muo said...

sahabat sehidup semati sukar dicari

tunz said...

betul tu org muo....

Kakzakie Purvit said...

Innalillahiwainnailaihiroju'un...
Betapa sedihnya kedua keluarga ini. Tapi inilah suratan dan takdirnya.

Moga rohnya tenang di sana.