HALAMAN

Monday, October 14, 2013

The Herald dilarang guna kalimah Allah - Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya The Herald.

Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dalam mahkamah yang penuh sesak pagi ini. Dua lagi hakim ialah Datuk Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.
Ini bermakna keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan pihak Roman Katolik adalah dibatalkan.


Dalam penghakimannya, Mohamed Apandi berkata mahkamah mendapati penggunaan perkataan Allah bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian.

Beliau berkata, dengan itu mahkamah mendapati tiada alasan mengapa gereja Katolik berkeras untuk menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya.

Katanya, penggunaan kalimah itu, jika dibenarkan akan menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat.

Pada 16 Februari, 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Diseember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.

SUMBER : BERITA HARIAN
Foto

No comments: