HALAMAN

Tuesday, September 7, 2010

Jangan persoal kontrak sosial

PUTRAJAYA 6 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat negara ini agar tidak mempersoalkan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para pengasas negara khususnya Perlembagaan Persekutuan yang berdasarkan kontrak sosial di antara kaum.

Perdana Menteri juga meminta rakyat untuk sentiasa mengelakkan diri daripada bertindak atau mengeluarkan tutur kata yang boleh mengguris perasaan kaum-kaum lain.

Beliau menegaskan perkara itu merupakan aspek penting dalam menjiwai gagasan 1Malaysia dan dapat menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional.

Najib yakin jika perkara-perkara itu dijiwai, ia mampu meredakan 'suhu panas' yang melanda negara sejak akhir-akhir ini.

''Kita semua selalu sebut tonggak negara ini adalah perpaduan nasional dan kestabilan politik dan ini akan terancam kalau kita tidak dapat menguruskan perhubungan kaum dengan begitu baik.
''Sebab itu gagasan 1Malaysia amat perlu difahami, dihayati serta diamalkan dan sehubungan itu saya harap para penjawat awam dapat menjiwai konsep 1Malaysia dalam apa saja perkara yang kita lakukan," katanya.
Beliau berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; menteri-menteri di JPM iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Beliau menjelaskan memelihara perhubungan antara kaum merupakan salah satu aspek pengurusan politik yang perlu dititikberatkan oleh anggota pentadbiran dan penjawat awam.

''Ingatlah bahawa menjadi tanggungjawab kita memelihara negara untuk anak-anak dan cucu-cucu kita, jangan yang elok menjadi retak dan jangan yang sudah bersambung menjadi putus.
''Dalam menyambut Aidilfitri dengan konsep rumah terbuka yang unik di Malaysia, kita bukan sahaja hendak 'membuka' rumah tetapi lebih penting membuka hati dan minda kita," katanya.

Pada penghujung ucapannya, Najib mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin bagi pihak beliau dan isteri serta anggota pentadbiran kerajaan kepada seluruh penjawat awam.

No comments: