HALAMAN

Showing posts with label BERITA PENDIDIKAN. Show all posts
Showing posts with label BERITA PENDIDIKAN. Show all posts

Friday, December 13, 2013

Ketua Pengarah Pelajaran yng baharu

Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud yang bersara pada 6 Disember lalu.Dr Khair merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar).

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mengenai pelantikan Dr Khair pada majlis makan malam sempena persaraan Abd Ghafar di sini, Isnin.Muhyiddin berkata sumbangan terbesar Abd Ghafar kepada kementerian tersebut ialah kerja kerasnya dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025).

"Kita bukan sahaja berjaya menepati sasaran dalam tempoh 100 hari pertama PPPM dilancarkan, malah kita telah maju ke hadapan dan melangkauinya."Semasa tempoh Abd Ghafar memegang jawatannya juga, program transformasi lain turut dimulakan seperti, inisiatif untuk anak Orang Asli dan pelajar desa serta program Sekolah Dalam Hospital, yang mana semuanya kini telah menunjukkan hasil yang baik."Abd Ghafar juga secara sukarela mahu menjadi penasihat kepada Guru 1Malaysia dan saya segera menerima tawarannya kerana guru muda bakal memperoleh faedah dengan bimbingan daripada beliau," katanya ketika berucap pada majlis makan malam tersebut.Muhyiddin berkata pihak kementerian telah mencadangkan nama Abd Ghafar sebagai ahli lembaga pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Sumber : http://mstar.com.my

Sunday, February 12, 2012

TPM: Kajian Mendapati Pelajar Tak Minat Sains

http://speakerpecah.blogspot.com

IPOH - Masalah kemerosotan ketara minat pelajar dalam subjek sains di sekolah akan ditangani melalui kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang sedang giat dijalankan dan dijangka selesai sewal-awalnya akhir tahun ini.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan yang diberi tugas mengkaji bagi menambah baik sistem pendidikan itu akan mengemukakan pelbagai cadangan untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Malah, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu tidak terhad kepada isu subjek sains sahaja malah subjek lain, termasuk Matematik dan bahasa Inggeris.

"Kajian ini dibuat oleh pakar yang akan buat perakuan dan cadangan dan kerajaan akan menerima cadangan itu. Mungkin kajian ini boleh siap sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan rasa kebimbangannya kerana walaupun sudah memperkenalkan banyak inisiatif memajukan bidang sains, minat pelajar untuk mengambil subjek berkenaan di sekolah semakin merosot ke tahap kritikal.i

Bilangan pelajar yang mengikuti bidang sains secara keseluruhan adalah kira-kira 37 peratus dan 29 peratus dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan sains tulen.

Muhyiddin berkata, walaupun pada beberapa peringka negara mencatat kejayaan agak membanggakan dalam bidang pendidikan, tetapi ada beberapa pihak melihat Malaysia agak terkebelakangan dibandingkan beberapa negara lain. Oleh itu, kajian dibuat meletakkan mengukur sistem dan kejayaan sedia ada dengan penanda aras antarabangsa bagi mengetahui kelemahan yang ada dalam sitem pendidikan negara.



Sumber: Berita Harian

Saturday, October 8, 2011

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta, dimansuhkan.
Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini berkata, dengan pemansuhan itu bermakna buat pertama kali dalam sejarah negara kemudahan pendidikan sama ada di sekolah rendah mahupun menengah disediakan secara percuma.
Beliau berkata, sebelum ini pelajar masih dikenakan bayaran yuran sebanyak RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.
"Bayaran itu digunakan untuk yuran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans takaful," katanya.
Menurutnya, keputusan kerajaan itu bakal memberi manfaat kepada 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.4 juta pelajar sekolah menengah.
Terdahulu Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion bagi sektor pendidikan untuk tahun depan.
"Bagi peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion, ia akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh serta sekolah agama bantuan kerajaan," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, menyelenggara, membeli peralatan dan membina blok tambahan.
"Daripada peruntukan tambahan RM1 bilion itu, RM500 juta adalah untuk sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada SJKC, RM100 juta kepada SJKT, RM100 juta kepada sekolah mubaligh, RM100 juta kepada sekolah agama bantuan kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga galakan untuk sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan ditetapkan kerana ia turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.
"Tiga galakan itu adalah pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun, potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing.
"Galakan ketiga adalah pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran," katanya lagi.

Friday, September 30, 2011

Sekolah kerajaan aliran Inggeris tidak akan diwujudkan: TPM

SERDANG: Sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Katanya, sebagai Menteri Pelajaran, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakannya berdasarkan akta dan dasar itu yang antara lain menyebut bahawa menyatakan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.
"Kalau di sekolah swasta, itu lain ceritalah," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika ditanya mengenai permintaan pihak tertentu supaya kerajaan menubuhkan sekolah aliran bahasa Inggeris.
Muhyiddin juga berkata, bahasa yang lebih mudah untuk diajar kepada anak-anak khususnya di peringkat rendah adalah bahasa ibunda.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) yang dihadirinya di Paris awal minggu ini.

"Sebab itu orang Cina nakkan sekolah bahasa Cina, orang India nak dengan bahasa Tamil, begitu juga di Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai bahasa," katanya semasa menjawab pertanyaan pada sesi dialog bersama pelajar sempena lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia di sini.

Muhyiddin berkata, usaha itu juga mampu memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan pada masa sama penguasaan bahasa Inggeris terus dipertingkatkan.
"Saya bertanggungjawab dalam mengubbal dasar, disebabkan itu ia masih hangat diperbincangkan sehingga kini, tetapi keputusan sudah pun dibuat bukan sebab tidak suka bahasa Inggeris tetapi kita mesti bersikap realistik.

"Ini kerana terdapat pelajar terutamanya di luar bandar yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris menyebabkan mereka sukar untuk menjawab soalan peperiksaan kerana lebih mahir dengan bahasa ibunda," katanya. - BERNAMA

Thursday, September 29, 2011

5 murid Tahun Enam ditegah ambil UPSR

LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi  dan Mohd Zulfikar sedih selepas  mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.
LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi dan Mohd Zulfikar sedih selepas mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.
Dilarang ke sekolah pada 13 hingga 15 September kerana dianggap bodoh

BALING: Lima murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Telok Sira, dekat sini, mengalami nasib sama seperti yang berlaku ke atas tiga murid sebuah sekolah di Sarawak baru-baru ini apabila dilarang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pertengahan bulan ini.
Mereka mendakwa dilarang ke sekolah dan mengambil peperiksaan itu pada 13 hingga 15 September lalu kerana disifatkan lemah dalam pelajaran serta boleh menjejaskan prestasi sekolah jika menduduki peperiksaan berkenaan.
Perkara itu terbongkar apabila ibu bapa murid terbabit tampil mendedahkan perkara itu semalam kepada media dan kesal dengan sikap pengurusan sekolah menganiaya anak mereka.

Lima murid terbabit ialah Mohd Fazli Md Isa, Mohd Zulfikar Mohd Fauzi, Mohd Zulhilmi Abd Mizan, Mohd Hakim Hasan dan Mohd Zulidham Yusof yang semuanya berusia 12 tahun.

Bapa Mohd Fazli, Md Isa Che Lah, 43, berkata dia hanya mengetahui perkara itu apabila diberitahu anaknya, seminggu selepas UPSR berakhir.

Katanya, Mohd Fazli beritahu seorang guru sekolah itu memaklumkan kepada lima pelajar terbabit supaya tidak datang mengambil UPSR kerana mereka dikatakan `bodoh' dan lemah dalam pelajaran.
“Saya kesal dengan tindakan guru terbabit yang menghalang anak saya menduduki peperiksaan, sedangkan saya bertungkus-lumus menghantarnya ke sekolah sejak Tahun Satu lagi.

“Anak saya turut mengalami tekanan perasaan dan sering murung apabila pihak sekolah terbabit tidak membenarkan dia mengambil peperiksaan itu,” katanya di sini sambil mendakwa beliau tidak tahu apa sepatutnya dilakukan apabila dimaklumkan perkara itu oleh anaknya sehinggalah mengambil keputusan untuk melaporkan kepada media bersama ibu bapa murid lain yang terbabit, semalam.

Seorang lagi waris, Raziah Yahya, 50, berkata beliau dikunjungi seorang guru sekolah berkenaan dan memaklumkan anaknya, Mohd Zulhilmi tidak perlu ke sekolah ketika UPSR itu berlangsung.

“Guru terbabit mendakwa jika anak saya mengambil peperiksaan itu, dia akan mendapat keputusan `E' sehingga menjejaskan peratus kelulusan sekolah.

“Dia juga mendakwa anak saya bodoh tidak boleh membaca, sedangkan Mohd Zulhilmi hanya lembam tetapi boleh membaca.

“Saya kasihan melihat sikapnya yang sering termenung dan mengasingkan diri sejak beberapa hari lalu, mungkin kerana malu dengan rakannya yang lain,” katanya.

Norziah Wateh, 42, ibu kepada Mohd Zulfikar pula berkata, anaknya itu menangis ketika pulang ke rumah selepas diarahkan guru supaya tidak datang ke sekolah mengambil peperiksaan itu.

“Dia amat sedih kerana cikgu mengatakan dia bodoh, selain diejek rakan sekelas,” katanya.

Mereka bagaimanapun belum membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dengan merujuknya kepada guru besar sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

“Saya masih menunggu laporan lengkap mengenai perkara itu dan akan menyiasat dakwaan itu dengan telus,” katanya.

Pada 20 September lalu, akhbar melaporkan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.

Sunday, September 25, 2011

KSSR terima maklum balas positif ibu bapa, guru

PUTRAJAYA 25 Sept. – Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan tahun ini menerima maklum balas positif daripada para guru dan ibu bapa, yang antara lain menyatakan ia berjaya meningkatkan minat para pelajar untuk belajar bahasa Inggeris.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar) Prof Dr Khair Mohamad Yusof berkata ini kerana pendekatan KSSR tidak lagi berbentuk kaedah tradisi pengajaran di bilik darjah (chalk and talk) tetapi menumpukan kepada kaedah pengajaran yang menyeronokkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris.
"KSSR ini bukan sahaja menekankan kepada kefasihan bahasa tetapi juga komunikasi antara pelajar. Ia menggunakan kaedah-kaedah lain seperti permainan dan muzik,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan lawatan 35 guru dari Selangor yang menyertai konvoi bermotosikal 1Malaysia dari Shah Alam ke kementerian di sini.
Konvoi itu singgah di beberapa tempat sepanjang perjalanan mereka untuk menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan risalah 1Malaysia kepada orang ramai.
Mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta) Prof Madya Dr S. Ganakumaran, yang dilaporkan sebagai berkata bahawa kurikulum pengajaran bahasa Inggeris di sekolah ketinggalan zaman, Khair berkata kurikulum yang diperkatakan persatuan berkenaan mungkin kurikulum lama.
"Kami telah memperkenalkan kurikulum baru dan setakat yang saya tahu dan saya juga telah ke sekolah-sekolah dan para guru gembira dengan kurikulum baru dan kaedah baru yang diperkenalkan,” katanya. - Bernama

Thursday, September 22, 2011

Rotan lima murid tanpa sebab


SEREMBAN – Lima murid Tahun Lima terpaksa menanggung kesakitan akibat dirotan seorang guru perempuan tanpa sebab yang jelas, di sebuah sekolah di Rahang, dekat sini, kelmarin.

Tindakan guru terbabit menyebabkan semua murid cedera di badan dan mengalami lebam di bahu serta tangan.

Murid terbabit, M Eswar berkata, dia terpaksa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar selepas dirotan berulang kali oleh guru yang mengajar subjek Kemahiran Hidup itu.

Mangsa yang dihubungi semalam mendakwa, dia tidak tahu kenapa dirotan di hadapan beberapa murid lain.

“Ketika cikgu rotan saya, dia seperti ‘naik hantu’ kerana melibas rotan di lengan dan tangan kiri,” katanya.

BACA LAGI

Sekolah taksub semua A ditegur

Imbuhan Tawaran Baru ambil kira semua aspek bukan hanya peperiksaan

KUALA LUMPUR: Sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam sehingga sanggup bertindak di luar batasan, ditegur kerana kecemerlangan institusi pendidikan bukan diukur dari segi pencapaian akademik saja.
Sebaliknya, pengiktirafan itu termasuk pemberian ganjaran kepada pengetua, guru besar dan guru di bawah Tawaran Baru, mengambil kira penilaian menyeluruh yang turut meliputi aspek pencapaian kokurikulum dan pelajar serta keberhasilan pembangunan modal insan selaras Falsafah Pendidikan Negara.
Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua dan guru besar harus bersikap lebih terbuka dalam memahami hasrat kementerian berhubung matlamat pendidikan berkualiti.

“Saya dukacita ada sekolah terlalu taksub seperti itu, sedangkan kementerian tidak menilai kecemerlangan sekolah hanya berdasarkan prestasi semua A dalam peperiksaan. Malah, ada sekolah yang bukan seluruh pelajarnya mendapat keputusan semua A, tetap berjaya menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

“Jadi, tindakan seperti menyekat calon tertentu menduduki peperiksaan awam bermakna menutup potensi yang ada serta menyebabkan masyarakat menjadi keliru,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Tiga calon Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, Sarawak, tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini kerana mereka didakwa lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.
Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine serta Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah ketika calon lain menduduki UPSR pada 13 dan 14 September lalu dan mereka hanya dibenarkan mendudukinya pada hari terakhir peperiksaan 15 September selepas ibu bapa membuat aduan polis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sudah membuat siasatan awal ke SK Bandar Bintangor Isnin lalu dan mengesahkan berlaku kejadian mengurung tiga calon terbabit.

BACA LAGI

Friday, September 2, 2011

GURU 'KERJA LUAR'


Kementerian Pelajaran perlu melakukan pemantauan yang menyeluruh berhubung fenomena guru membuat kerja ‘luar’ kerana ia boleh mengganggu dasar pendidikan negara.

Sambil menyifatkan fenomena itu semakin serius kebelakangan ini, Pensyarah Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pelajaran juga perlu menjalankan kajian mengenai perkara itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

‘‘Oleh kerana tiada data yang dapat membuktikan hal ini berlaku, sukar untuk Kementerian Pelajaran mengambil langkah mengatasinya.

‘‘Pihak persatuan guru juga pasti akan menafikannya tetapi cubalah bertanyakan kepada ibu bapa kerana sebahagian besar daripada rungutan mengenai perkara ini datangnya daripada mereka,” katanya kepada di sini, hari ini.

Menurut Anuar, antara kerja luar yang sinonim dengan guru adalah mengajar di kelas tuisyen berbayar, terlibat dengan perniagaan skim piramid (MLM), menjadi ejen insurans serta pelbagai produk seperti pakaian, aksesori perhiasan dan barangan kecantikan.

Katanya, disebabkan komitmen pemikiran, masa dan tenaga lebih terarah kepada kerja luar, ada guru yang mengabaikan tugasan hakiki iaitu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

‘‘Akibatnya guru-guru ini secara fizikalnya akan menjadi letih dan tiada masa untuk membuat persediaan pengajaran.

‘‘Tidak hairan selepas 13 tahun anak-anak kita di sekolah rendah, namun masih belum berkeupayaan untuk menulis walau hanya sebaris ayat bahasa Inggeris dengan lengkap,” katanya.

Apa yang membimbangkan, kata Anuar, disebabkan sistem pendidikan negara tidak membenarkan ulangan kelas, pelajar yang gagal menguasai pelajaran juga akan tetap mengikuti kenaikan kelas.

Ditanya adakah faktor gaji menjadi penyebab utama, Anuar berkata, skim gaji guru ketika ini sebenarnya masih boleh memenuhi semua keperluan hidup dengan baik dan berkualiti.

‘‘Tetapi ada guru yang masih belum berpuas hati bila membandingkan pendapatannya dengan eksekutif di sektor korporat yang berpendapatan berlipat kali ganda.

‘‘Apa yang lebih diperlukan ialah memastikan setiap guru benar-benar memahami tanggungjawab mereka,” katanya.

Tuesday, August 16, 2011

Penerbitan buku baru cecah 16,000 judul


Jumlah penerbitan buku baru di negara ini mencecah 16,000 judul pada masa ini yang membolehkan Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 110 negara di seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun negara masih berada di belakang negara jiran iaitu Vietnam dan Indonesia, namun jumlah terbabit menunjukkan kesungguhan penerbit tempatan untuk mencapai sasaran yang diunjurkan.
"Semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada April lalu, saya menggesa semua penerbit tempatan sama ada dari agensi kerajaan atau swasta untuk sama-sama berusaha menerbitkan 26,000 judul buku terjemahan baru setahun.
"Jumlah yang saya unjurkan ini bukan omongan kosong semata-mata, tetapi ia bagi memenuhi nilai penerbitan buku sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara ini, yang selaras dengan saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO," katanya pada majlis pengumuman pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesungguhan itu adalah sokongan penerbit dengan usaha kerajaan, Kementerian Pelajaran khususnya dalam merealisasikan salah satu daripada sub-NKRA Pendidikan iaitu Meningkatkan Kadar Literasi dan Numerasi (LINUS).

"Oleh itu, saya meminta supaya penerbit terus berusaha dengan lebih keras bagi memastikan bahan bacaan mencukupi serta penghasilan dan penerbitan buku-buku yang dapat memenuhi selera pembacaan kira-kira 27 juta rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam ucapannya berkata, 130 judul Buku Sains dan Matematik siap diterjemahkan dan akan diterbitkan sebelum penghujung tahun ini.
Katanya, 100 buku diedarkan kepada 9,980 buah sekolah di seluruh negara dan bakinya akan dikirimkan dalam masa terdekat.

SJK (Cina) Chung Hua, Sarawak dipilih sebagai juara bagi kategori sekolah rendah di dalam pertandingan tersebut yang julung kali diadakan bagi penghasilan video terbaik mereka bertajuk "Pertarungan Hebat Ahli Silap Mata".

Muhyiddin menyampaikan hadiah RM15,000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili.

Bagi kategori sekolah menengah, ia dimenangi oleh SMK King George V, Negeri Sembilan bagi video mereka bertajuk "Terokai Tenaga Suria" dan menerima RM20,000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili. - BERNAMA