HALAMAN

Thursday, September 2, 2010

MULUT KERING

Mulut Kering ataupun istilah dari segi perubatannya ialah Xerostomia yang mana masalah ini merujuk kepada rasa kekeringan dalam mulut disebabkan pengurangan aliran air liur. Kita sedia maklum bahawa air liur diperlukan untuk mengunyah dan menelan makanan, bertutur, membersihkan lebihan
makanan dalam mulut dan menjaga kesihatan mulut. Masalah ni biasanya lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki dan sering berlaku apabila umur semakin meningkat.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan mulut kering?
Mulut kering boleh disebabkan oleh:
  • masalah kesihatan seperti diabetes
  • pengambilan ubat-ubatan tertentu contohnya ubat-ubatan untuk darah tinggi dan stres atau rawatan perubatan seperti radioterapi.
  • tabiat bernafas melalui mulut.
  • kurang minum air.

Apakah tanda-tanda yang berkaitan dengan mulut kering?
Anda mungkin mengalami:
  • rasa membakar dalam mulut.
  • kesukaran untuk mengunyah, menelan, atau bercakap.
  • bibir kering dan merekah.
  • lidah kering.
  • sakit dalam mulut.
  • gangguan deria rasa.

Apakah komplikasi mulut kering?
Mulut kering meningkatkan risiko kerosakan gigi dan lain-lain penyakit dalam mulut.

glass_of_water
Apa yang boleh anda lakukan?
Dapatkan pemeriksaan di klinik pergigian. Walau bagaimanapun, anda boleh mencuba petua di bawah untuk mengurangkan rasa tidak selesa dalam mulut :
  • Kerap minum air sepanjang hari.
  • Makan sambil minum sedikit-sedikit bagi setiap suapan.
  • Elakkan minum minuman yang mengandungi kafein contohnya kopi dan teh.
  • Kunyah gula-gula getah tanpa kandungan gula untuk meransang pengeluaran air liur.
  • Elakkan merokok.
  • Jangan minum alkohol.
  • Lembapkan bibir dengan vaseline.
  • Gunakan air liur gantian yang boleh diperolehi di farmasi.
Sumber : INFOSIHAT

No comments: