HALAMAN

Saturday, August 27, 2011

Jeli beracun diharam

PUTRAJAYA: Berkuatkuasa hari ini, kerajaan melarang pembekalan dan penjualan agar-agar yang digunakan bagi pertumbuhan pokok, Seven Colour Crystal Ball (SCCB) serta barang seumpamanya di pasaran kerana boleh menyebabkan risiko usus tersumbat sekiranya ditelan kanak-kanak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu dikuatkuasakan selepas kementeriannya menerima lapan kes akibat tertelan agar-agar itu, membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun.

“Semua kes pembedahan berlaku antara April tahun lalu hingga Ogos tahun ini. Tujuh daripada kes berkenaan dilaporkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan satu daripadanya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kes terbaru yang dilaporkan di HKL membabitkan kanak-kanak berusia 12 bulan tertelan agar-agar itu dan dia menjalani pembedahan pada Selasa lalu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Agar-agar berkenaan berbentuk ketulan atau manik pelbagai warna dengan permukaan yang licin dan bergel digunakan sebagai hiasan serta sumber air kepada tumbuhan.

Saiz asalnya kurang daripada 0.5 sentimeter (sm), namun boleh mengembang sehingga enam kali ganda daripada saiz asal. Apabila ditelan kanak-kanak, usus akan mengembang dan tersumbat.


Produk SCCB itu juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Jelly Ball, Crystal Jelly, Baby Crystal serta Crystal Soil dan antara negara pengeksport ialah Jepun dan China.

BACALAGI

No comments: