HALAMAN

Wednesday, September 21, 2011

44 murid keracunan makanan




TAMPIN – Seramai :44 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Besar, Gemas, dekat sini, dikejarkan ke dua Klinik Kesihatan (KK) berdekatan sekolah berkenaan, pagi semalam selepas mengadu sakit perut dan muntah-muntah dipercayai akibat keracunan makanan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 29 daripada 44 murid dihantar ke KK Gemas, manakala, 15 murid lagi dihantar ke KK Jelai untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas mengadu sakit perut selepas menikmati menu nasi ayam di kantin sekolah berkenaan.

Pengarah Pelajaran Negeri, Abdul Halim Abdul Razak berkata, pihaknya mendapat laporan tidak rasmi berhubung insiden itu, bagaimanapun menjelaskan ia tidak begitu serius dan berada dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, kesemua murid adalah daripada Tahun Satu hingga Tiga dan dibawa ke KK berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut sejurus dimaklumkan sakit perut dan menunjukkan beberapa gejala keracunan makanan.

Katanya, bagaimanapun, selepas mendapat rawatan, kesemuanya beransur pulih dan dibenarkan pulang.

“Kita masih lagi sedang menyiasat punca sebenar murid keracunan makanan dan bakal mengambil tindakan yang lebih proaktif selepas maklumat penuh mengenai insiden ini disiapkan,” katanya kepada :Sinar Harian.

Difahamkan, Unit Teknologi Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Tampin bergegas ke lokasi kantin sekolah berkenaan bagi mengambil sampel makanan atau nasi ayam dipercayai menjadi menu yang ditawarkan semasa sesi rehat.

Abdul Halim berkata, sememangnya pihak jabatan amat menitikberatkan pengusaha kantin sekolah di negeri ini untuk menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan.

“Malah, kita juga sentiasa memantau kualiti makanan yang ditawarkan di kantin sekolah dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku.

”Oleh itu, diharap ibu bapa tidak bimbang susulan insiden berkenaan kerana berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

1 comment:

Anonymous said...

tak patut berlaku nie. kasihan dekat murid2