HALAMAN

Wednesday, September 14, 2011

Hidayat ‘gagah’ duduki UPSR

PASIR PANJANG – Walaupun hampir lumpuh seluruh badan, namun itu tidak mematahkan semangat seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula, semalam.

Muhamad Hidayat Ishak, 12, tetap ‘gagah’ menduduki UPSR dan berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Menurutnya, walaupun dalam keadaan kurang sihat dan tidak seperti rakan-rakan lain, itu tidak mematahkan semangatnya untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

“Walaupun tidak dapat duduk menjawab soalan bersama rakan-rakan dan terpaksa ditempatkan di bilik khas, namun saya tidak patah semangat sebaliknya yakin dapat melakukan yang terbaik.

“Saya sudah dapat menjawab dengan baik untuk hari ini (semalam) dan berharap keadaan ini berterusan serta berdoa supaya mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Maimun Ujang, 49, berkata, dia sangat gembira apabila melihat Hidayat mampu mencapai salah satu impiannya iaitu untuk menduduki UPSR.

Menurutnya, mula-mula dia risau dengan keadaan anaknya yang lumpuh dan mungkin hilang fokus semasa peperiksaan.

“Tetapi melihatnya pada hari ini (semalam), saya yakin Hidayat mampu menduduki peperiksaan ini.

“Apa sahaja keputusan yang dicapainya saya terima dan tetap berbangga dengan segala kemampuan dan usaha ditunjukkannya,” katanya.

Maimun berkata, pada awalnya, dia meminta anaknya mengambil peperiksaan di rumah sahaja, namun tidak dibenarkan dan di nasihat agar dilakukan di hospital atau sekolah.

Dia berkata, anaknya mula dikesan mengalami pertumbuhan tidak normal pada usia 10 tahun.

“Ketika itu, Hidayat selalu terjatuh sama ada ketika bermain, menunggang basikal dan sebagainya.

“Awalnya, saya tidak mengesyaki apa-apa yang serius, namun selepas dia makin kerap terjatuh, saya membawanya berjumpa doktor dan disahkan menghidap penyakit ‘duchenne muscular dystrophy’ iaitu berkaitan otot,” katanya.

Katanya, kini, badan anaknya tidak kuat dan lumpuh di bahagian pinggang ke bawah sementara tangannya juga sudah semakin lemah.

Hidayat adalah salah seorang daripada 60 calon UPSR SK Pasir Panjang.

No comments: