HALAMAN

Friday, December 12, 2014

Kekasih gelap warisi KWSP



AYER KEROH - Hampa dan kecewa. Itulah yang dirasa seorang ibu tunggal apabila mendapat tahu dia tidak layak menuntut wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suami selepas kematian lelaki itu.

Sebaliknya nama waris yang tertera adalah individu lain yang didakwa sebagai ‘kekasih gelap’ suami.

M Tamil Selvee, 48, dari Taman Kesang Damai, Jasin, berkata, perkara itu hanya disedarinya ketika tampil ke pejabat KWSP Cawangan Jasin, Julai lalu dan pegawai terbabit menjelaskan suaminya telah menukar nama waris kepada wanita berkenaan.

Selvee yang hanya meraih pendapatan sebanyak RM322 sebulan sebagai tukang sapu di sebuah kuil, mengenali wanita terbabit dan tahu hubungannya dengan suami selama ini.

“Saya memang tahu hubungan suami, tetapi apa boleh buat, sebagai isteri saya kena patuh padanya. Tetapi saya tidak sangka dia (suami) tergamak sehingga sanggup menukar nama waris KWSP miliknya kepada wanita itu.

“Saya puas merayu kepada wanita itu supaya memberikan sebahagian wang itu untuk keperluan keluarga saya tetapi dia langsung tidak mengendahkannya,” katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka, di sini, semalam.

Menurut Tamil Selvee, suaminya, Mendiang K Chellamanickam, seorang pemandu jentolak, meninggal dunia pada Julai lalu selepas  mendapat kemalangan di tempat kerja.

Katanya, mendiang suaminya pernah mengeluarkan wang berkenaan sebelum kematiannya beberapa bulan lalu sebaik usianya genap 50 tahun.

Ibu tunggal itu bercadang untuk mengeluarkan baki wang berkenaan yang jumlahnya lebih kurang RM31,000.

“Saya mempunyai tiga anak tetapi dua daripadanya sudah meninggal dunia akibat sakit. Kini tinggal anak perempuan saya berusia 26 tahun tetapi dia sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Harapan saya, wang berkenaan dapat digunakan untuk keperluan keluarga.

“Saya ingin nasihatkan isteri-isteri di luar sana supaya semak penama KWSP suami supaya apa yang menimpa saya tidak terjadi kepada wanita-wanita lain yang kematian suami.

Begitu juga buat suami, jangan tergamak perlakukan isteri seperti ini, hanya kerana terpengaruh dengan teman wanita sampai letak penama KWSP kepada nama kekasih,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, apa yang berlaku menunjukkan kelemahan sistem penama KWSP itu sendiri sehingga pencarum sewenang-wenang meletakkan nama kepada sesiapa pun.

“Saya mencadangkan agar perkara ini diambil perhatian serius dengan meletakkan nama waris kepada mereka yang benar-benar berhak seperti anak dan isteri,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN

2 comments:

Khairul Mukmin said...

kesian dia...

tunz said...

wanita ni tinggal saTU taman dgn mama tunz