HALAMAN

Thursday, September 22, 2011

Sekolah taksub semua A ditegur

Imbuhan Tawaran Baru ambil kira semua aspek bukan hanya peperiksaan

KUALA LUMPUR: Sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam sehingga sanggup bertindak di luar batasan, ditegur kerana kecemerlangan institusi pendidikan bukan diukur dari segi pencapaian akademik saja.
Sebaliknya, pengiktirafan itu termasuk pemberian ganjaran kepada pengetua, guru besar dan guru di bawah Tawaran Baru, mengambil kira penilaian menyeluruh yang turut meliputi aspek pencapaian kokurikulum dan pelajar serta keberhasilan pembangunan modal insan selaras Falsafah Pendidikan Negara.
Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua dan guru besar harus bersikap lebih terbuka dalam memahami hasrat kementerian berhubung matlamat pendidikan berkualiti.

“Saya dukacita ada sekolah terlalu taksub seperti itu, sedangkan kementerian tidak menilai kecemerlangan sekolah hanya berdasarkan prestasi semua A dalam peperiksaan. Malah, ada sekolah yang bukan seluruh pelajarnya mendapat keputusan semua A, tetap berjaya menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

“Jadi, tindakan seperti menyekat calon tertentu menduduki peperiksaan awam bermakna menutup potensi yang ada serta menyebabkan masyarakat menjadi keliru,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Tiga calon Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, Sarawak, tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini kerana mereka didakwa lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.
Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine serta Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah ketika calon lain menduduki UPSR pada 13 dan 14 September lalu dan mereka hanya dibenarkan mendudukinya pada hari terakhir peperiksaan 15 September selepas ibu bapa membuat aduan polis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sudah membuat siasatan awal ke SK Bandar Bintangor Isnin lalu dan mengesahkan berlaku kejadian mengurung tiga calon terbabit.

BACA LAGI

No comments: