HALAMAN

Sunday, September 11, 2011

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan berjaya


Sekumpulan kanak-kanak bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa majlis Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri di Kuala Lumpur, kelmarin. - MINGGUAN MALAYSIA/RASHID MAHFOF


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan yang dijalankan pada bulan puasa lalu bagi menyemai semangat patriotisme rakyat mencapai sasaran apabila berjaya menjelajah ke 149 daerah di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman (gambar) berkata, berikutan kejayaan itu, Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri yang merupakan kesinambungan program tersebut dilaksanakan mulai hari ini hingga 16 September ini.
Menurut beliau, program yang dijalankan pada bulan puasa lalu yang turut bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik mendapat sokongan memberangsangkan daripada penduduk kawasan perumahan, kedai dan pejabat kerajaan.
"Konvoi menggunakan 10 kenderaan pacuan empat roda serta 54 motosikal ke seluruh negara itu menampakkan hasil terutama dalam memupuk semangat patriotisme dan mengukuhkan hubungan di kalangan penduduk.
"Sebanyak sejuta Jalur Gemilang telah diedarkan dan kami juga menjalankan pertandingan keceriaan Merdeka bagi menaikkan suasana kemerdekaan di tempat kerja, kediaman dan kawasan kejiranan," katanya ketika melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri di Kuarters Kerajaan Jalan Duta, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri, Jabatan Penerangan akan terus mengedarkan Jalur Gemilang serta mengajak anggota masyarakat menubuhkan Komuniti 1Malaysia di tempat mereka.
Sementara itu, jelas Ibrahim, Pertandingan Fotografi Kemerdekaan 1Malaysia yang menawarkan hadiah sehingga RM20,000 kepada pemenang merupakan antara beberapa aktiviti yang diwujudkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54.
Tambahnya, pertandingan yang terbuka kepada jurukamera amatur dan profesional bermula 1 September lalu itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
"Tahun lepas kita dapat 58 penyertaan sahaja tetapi tahun ini kita memperoleh sambutan hebat iaitu sehingga 400 penyertaan dari seluruh negara," ujarnya.

No comments: