HALAMAN

Monday, September 19, 2011

Lelaki bantu tunang direjam


GOMBAK: Niat seorang lelaki mahu membantu menyuraikan pertengkaran tunangnya dengan keluarga wanita terbabit bertukar ganas apabila dia dibaling pasu bunga dan batu-bata menyebabkannya cedera di kepala dan badan di rumah wanita itu di Flat Pinggiran Batu Caves, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 27 bekerja apabila menerima panggilan daripada tunangnya yang meminta dia datang ke rumah kerana dia bertengkar dengan keluarga dan mahu mangsa membawanya pergi.

Menurut sumber, bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa ke rumah tunangnya itu.
“Ketika tiba di rumah itu, mangsa melihat adik tunangnya sedang memarahi dan memaki hamun tunangnya itu di tingkat satu menyebabkan dia mencelah dan menjerit supaya mereka berhenti bertengkar.

“Malah, mangsa juga menasihatkan mereka turun dan berbincang, namun adik lelaki tunangnya yang geram mangsa campur tangan memaki hamunnya sebelum mengambil pasu bunga dan membaling ke arahnya,” katanya.

Sumber berkata, terkejut dengan tindakan bakal adik iparnya itu, mangsa cuba mengelak, namun tidak sempat dan terkena di kepalanya.

“Malah, seorang ahli keluarga tunang mangsa campur tangan apabila mengambil batu-bata di kawasan kejadian sebelum membaling ke arah mangsa beberapa kali.

“Mangsa gagal menyelamatkan diri terkena di badan dan pinggang menyebabkan dia menjerit kesakitan sebelum melarikan diri.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang sebelum mendapat rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

2 comments:

Muhammad Izuan said...

family apa ni...

tunz said...

macam2 dunia sekarang jika tiada kesabaran