HALAMAN

Friday, September 9, 2011

Muntah selepas minum susu




ALOR GAJAH - Seramai 70 murid Sekolah Kebangsaan Othman Syawal, Kuala Sungai Baru, di sini mengalami cirit-birit dan muntah-muntah selepas waktu rehat akibat minum susu dibekalkan pihak sekolah, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kesemua murid dari tahun satu hingga enam itu mengadu rasa loya dan sakit perut selepas kira-kira sejam meminum susu berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Azmi Hashim mengesahkan menerima lapo�-ran berhubung kes berkenaan.

“Maklumat menyeluruh berhubung kes berkenaan masih belum diperolehi, bagaimanapun, daripada maklumat awal mengatakan seramai 70 pelajar sekolah terbabit mengalami keracunan makanan selepas meminum susu yang dibekalkan sekolah.

“Susu berkenaan memang dibekalkan kepada pelajar-pelajarnya setiap pagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu sebaik saja menerima laporan.

Difahamkan, seramai kira-kira 600 pelajar meminum susu berkenaan, bagaimanapun hanya 70 saja yang mengalami simptom berkenaan.

Sementara itu, Jurucakap Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah berkata, pelajar yang mengalami simptom berkenaan mengadu susu yang diminumnya itu pada waktu rehat sudah masam.

“Kita mengambil sampel najis lima pelajar yang mengalami muntah serta cirit-birit lebih daripada tiga kali. Manakala, selebihnya hanya diberikan rawatan biasa,” katanya.

Pihak pengurusan sekolah terbabit ketika dihubungi Sinar Harian bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian terbabit.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Norsalfiza Harun, 10, ketika ditemui berkata, dia berasa mual dan loya kira-kira sejam selepas minum susu berkenaan pada waktu rehat, sebelum disusuli muntah serta sakit perut.

“Saya lihat rakan-rakan lain turut mengalami masalah sama,” katanya.

No comments: