HALAMAN

Sunday, September 11, 2011

SEMARAK MERDEKA - MASJID NEGARA


LATAR BELAKANG
MASJID NEGARA Malaysia terletak di Kuala Lumpur . Dibina antara 1963 dan 27 Ogos 1965 , Masjid Negara merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia . Ia boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah.

LOKASI
Terletak di kawasan strategik Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Masjid Negara terletak bersebelahan Stesen Keretapi Malaysia , Bangunan Daya Bumi , Pos Besar Malaysia , Muzium Kesenian Islam , Taman Burung Kuala Lumpur dan berdekatan Taman Tasik Perdana . Kawasan Masjid Negara seluas 13 ekar dan bangunan utamanya memenuhi lebih kurang 3 ekar. Seluruh kawasan masjid di kelilingi sebahagiannya oleh tembok konkrit dan sebahagiannya lagi oleh pagar berhias. Semuanya terdapat tujuh buah pintu masuk.Kemudahan untuk pelancong bukan islam juga disediakan seperti tandas awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terletak berdekatan pintu masuk khusus pelancong luar dan dalam negara.

Sebelum terbinanya Masjid Shah Alam, Masjid Negara merupakan salah sebuah masjid yang paling moden di Asia Tenggara. Ia terletak di kawasan seluas 13 ekar, bertentangan pula dengan Perhentian Keretapi Kuala Lumpur. Pembinaan Masjid Negara ini melambangkan semangat perpaduan dan toleransi. Ia direka bentuk oleh orang berketurunan Melayu, dibina oleh orang berketurunan Cina dan India dan dibiayai oleh sumbangan masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh para arkitek Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya. Sebelum memulakan kerja merekabentuk Masjid Negara ini, arkitek utamanya, Baharuddin Abu Kassim mengkaji masjid-masjid di India, Pakistan, Iran, Turki, Arab Saudi, Republik Arab Bersatu dan Sepanyol.

Sekali pandang, menaranya berukuran 245 kaki tinggi kelihatan seperti sebuah roket. Bentuknya seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbungnya kelihatan seperti sekaki payung yang kembang. Bangunan berharga RM10 juta ini meliputi kawasan seluas lima ekar. Ia mengandungi sebuah dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan, permakaman, perpustakaan, pejabat, halaman, menara, bilik diraja dan sebuah bilik imam. Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di bahagian barat. Turut disediakan ialah bilik radio dan televisyen berhawa dingin yang terletak di galeri dewan sembahyang.

Terdapat tiga buah pintu besar dan sebuah pintu khas bagi kegunaan diraja. Di tingkat bawah ruang depan terdapat beberapa buah bilik untuk berwuduk, bilik mandi, tempat menyimpan kasut dan bilik berehat bagi mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur. Sebelum sampai ke dewan sembahyang di tingkat pertama terdapat sebuah halaman besar. Di bahagian tengah halaman ini terdapat 48 kaki payung konkrit manakala di rusuknya pula terdapat kolam-kolam beserta beberapa buah pancuran.

Dewan sembahyang itu bertembok konkrit tetulang dan dilekapkan dengan batu marmar Itali. Terdapat sembilan buah pintu lorot aluminium di sepanjang tiga bahagian tembok berkenaan. Beberapa potong ayat al-Quran ditulis melintangi tembok di atas pintu bahagian dalam dewan sembahyang itu. Tulisan berukuran dua kaki tinggi diadun dengan mozek keemasan dan kebiruan yang berkilat. Bumbungnya yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih.

Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran – seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul,Turki. Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Morocco. Muka tembok yang mengelilingi mihrab ini diubah suai mengikut seni bina Morocco. Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar yang berbentuk seperti beranda ini dibina daripada kayu.


BACA LAGI

No comments: