HALAMAN

Sunday, September 11, 2011

Kajian JMM mengenai PPSMI tidak tepat: Puad

BATU PAHAT: Kajian oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang menunjukkan 50 peratus ibu bapa mahukan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak tepat kerana ia dilakukan secara tidak komprehensif.

Menegaskan demikian, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata kajian terbabit dilakukan tanpa mengambil kira pelbagai aspek dan hanya bergantung sama ada ibu bapa bersetuju terhadap PPSMI.
"Kajian itu tidak meliputi keberkesanan PPSMI dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Ia (kajian) tidak dilakukan secara empirikal dan tidak komprehensif," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Hari Raya Aidilfitrinya di sini hari ini.
Sebaliknya, Puad berkata kementerian sudah melakukan kajian terperinci selain beberapa perbincangan meja bulat dengan pakar pendidikan negara sebelum membatalkan pelaksanaan PPSMI.

Mohd Puad berkata, kementerian juga menolak PPSMI berdasarkan keputusan pelajar yang merosot dalam subjek sains dan matematik pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2008.

Beliau menjelaskan, ketika dasar PPSMI dilaksanakan, hanya lapan peratus guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar subjek Sains dan Matematik kerana kebanyakan mereka tidak dilatih dan tidak menguasai bahasa itu.

Katanya, banyak pihak salah faham mengenai pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai kerajaan meminggirkan penguasaan bahasa Inggeris.
Beliau juga berkata, langkah kementerian mempertimbangkan cadangan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, tidak bermakna kementerian akan kembali menggunakan PPSMI.

"Memang kita sedang mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira pelbagai aspek tetapi ini langsung tidak bermakna kita akan kembali kepada PPSMI," katanya. - BERNAMA

No comments: