HALAMAN

Sunday, September 18, 2011

Somalia: Satu peringatan buat umat Islam Malaysia

ENSIKLOPEDIA maya Wikipedia menakrifkan Somalia sebagai sebuah negara kegagalan, salah sebuah negara termiskin dan paling ganas di dunia. Yang memilukan, ia juga sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan dipimpin oleh orang Islam.
Kini kita lebih mengenali Somalia kerana kegiatan lanun di perairannya dan terkini seorang wartawan kita ditembak mati ketika bersama misi kemanusiaan Malaysia untuk membantu mangsa-mangsa kemarau panjang di sana.
Kemarau yang berlaku sekarang bukan kali pertama. Pada 1992 seramai 300,000 penduduk Somalia mati akibat kebuluran setelah kemarau panjang memusnahkan tanaman dan mengeringkan segala sumber air.
Musibah bencana alam itu berlaku setelah pertumpahan darah tidak berhujung ekoran rampasan kuasa demi rampasan kuasa di negara yang boleh dianggap di antara yang awal menerima Islam itu. Malah ada ahli sejarah mencatatkan kedatangan Islam ke Somalia berlaku pada zaman Rasulullah apabila sebilangan sahabat turut berhijrah ke bumi tersebut yang suatu masa dulu merupakan sebahagian daripada wilayah Habsyah.
Somalia juga merupakan sebuah negara yang makmur beberapa abad lalu dan pernah menjalin perdagangan dengan kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Keruntuhan Somalia dikatakan bermula pada zaman penjajahan kuasa Eropah pada awal abad ke-19. Sebahagian negara itu pernah dijajah oleh Britain dan sebahagian lagi di bawah Itali. Selepas penjajahan tamat, bermulalah era ketidakstabilan kerana perebutan kuasa di antara puak-puak bersenjata yang bermusuhan.
Sehingga sekarang tiada puak yang benar-benar memegang kuasa pemerintahan pusat di Somalia. Setiap puak yang dapat menguasai ibu negara, Mogadishu hanyalah dianggap kerajaan sementara yang mentadbir hanya sebahagian daripada bumi Somalia.
persaingan
Wujudnya puak-puak militan yang bertelagah, banyaknya senjata api yang dimiliki oleh orang awam turut mencetuskan masalah lanun. Mereka ini asalnya adalah nelayan-nelayan pantai yang hilang mata pencarian akibat persaingan dengan nelayan-nelayan laut dalam asing. Pencemaran laut persisiran pantai akibat pembuangan sisa-sisa toksik oleh kapal-kapal dari Eropah juga menjadi punca kehilangan mata pencarian nelayan-nelayan Somalia yang akhirnya mendorong mereka menjadi lanun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Negara-Negara Afrika cuba menjadi pendamai antara puak-puak yang bertelagah, tetapi pertumpahan darah terus berlaku ke hari ini. Betapa anggota misi kemanusiaan dari Malaysia menjadi sasaran tembakan adalah manifestasi keadaan anarki dan kucar-kacir di Somalia.
Kini mereka berhadapan dengan kemarau yang diramalkan boleh mencatat angka kematian yang lebih buruk daripada kemarau yang mengorbankan kira-kira 300,000 orang pada 1992, jika tidak mendapat pertolongan lain-lain negara. Dilaporkan bahawa hujan tidak turun sudah dua musim.
Apakah kemarau panjang ini sekadar bencana alam biasa atau satu peringatan dari Allah SWT terhadap kekejaman yang berlarutan sesama umat Islam di Somalia? Azab terhadap mereka lantaran melakukan kezaliman yang melampau sesama Islam? Tentu terlalu banyak dosa yang mereka lakukan sehingga diazab begitu rupa.
Yang paling nyata ialah pembunuhan sesama Islam akibat perebutan kuasa berlaku sangat berleluasa di Somalia. Sedangkan bermusuhan sesama Islam dilarang, inikan pula berbunuhan.
Dari Abu Bakrah katanya Rasulullah SAW bersabda: ‘‘Apabila dua orang Muslim berkelahi dengan menggunakan pedang (senjata) masing-masing, maka pembunuh dan yang dibunuh kedua-duanya akan masuk neraka.” (Sahih Muslim)
Ada satu lagi hadis yang wajar menjadi peringatan kepada umat Islam khususnya kalangan pemimpin dan mereka yang berpengaruh dalam menentukan dasar sesebuah negara dan masyarakat.
Dari Amir bin Saad, dari bapanya, katanya: ‘‘Pada suatu hari Rasulullah datang dari daerah berbukit. Ketika sampai di Masjid Bani Mu‘awiyah baginda solat dua rakaat. Kami solat bersama baginda. Beaginda kemudian berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Selepas berdoa, baginda berpaling kepada kami dan bersabda ‘‘Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenan dua perkara dan menolak satu perkara.
‘‘Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti kaum Nabi Nuh), permohonanku itu diperkenankan juga. Aku mohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan.” (Sahih Muslim)
Pertolongan
Inilah sebenarnya punca krisis yang melanda banyak negara Islam pada hari ini. Allah tidak akan memberikan pertolongan kepada umat Islam jika mereka bermusuh, apatah lagi berbunuhan sesama sendiri.
Tetapi itulah yang telah berlaku di Somalia, Afghanistan, Iraq, Palestin dan kini sedang merebak ke beberapa negara lagi termasuk Libya dan Syria. Umat Islam sedang berbunuhan sesama sendiri. Pasti mereka tidak akan mendapat pertolongan Allah. Malah jika kezaliman keterlaluan, mereka akan turut ditimpa musibah bencana alam.
Ingatkah lagi akan Tsunami pada tahun 2004. Yang paling teruk dimusnah ombak besar ialah Acheh, di mana pembunuhan sesama Islam berleluasa kerana tuntutan pemisahan GAM daripada pemerintahan Jakarta.
Islam adalah agama yang memimpin, bukannya dipimpin. Tetapi kini umat Islam tidak lagi melayakkan diri mereka untuk memimpin kerana mereka tidak lagi mematuhi perintah Allah dan Rasulullah. Mereka berperang sesama sendiri.
Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. - Al Hujuraat 49: 10
Apabila umat Islam bermusuh, bertelagah dan berbunuh sesama sendiri, maka mereka tidak lagi termasuk dalam golongan orang beriman. Berdasarkan firman Allah dan hadis, kelak mereka tidak akan lagi mendapat rahmat-Nya.
Kita umat Islam di Malaysia sedang berusaha menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa kemarau di Somalia. Sekalipun seorang wartawan kita yang beragama Islam terkorban ditembak barangkali oleh seorang yang juga Muslim, kita tetap akan meneruskan misi kemanusiaan di sana. Ini menunjukkan bahawa masih ramai umat Islam di Malaysia berhati mulia. Mudah-mudahan kita dan tanah air akan terus dirahmati Allah.
Namun kita umat Islam Malaysia perlu berwaspada dengan masalah permusuhan politik sesama kita yang nampaknya semakin memburuk, sehingga menguntungkan musuh-musuh Islam.
Jangan sampai kita kehilangan taraf masyarakat beriman yang akan menerima kemurkaan Allah dan tidak lagi mendapat rahmat-Nya!
 sumber: utusan online

p/s mama tunz: sama-samalah kita berdoa dan kukuhkan ukhwah sesama Islam....

1 comment:

IMANSHAH said...

salam

semoga mendapat pengajaran