HALAMAN

Saturday, December 20, 2014

final Piala Suzuki AFF

KETUA  jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh yakin anak buahnya mampu menewaskan Thailand pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Beliau berkata, kehadiran penyokong yang ramai pada perlawanan itu sudah tentu akan memberi tonik tambahan kepada pemain negara untuk menampilkan aksi terbaik di laman sendiri.

"Saya mengakui bukan tugas mudah berdepan pasukan Thailand yang mempunyai kelebihan dari segi stamina, selain mereka juga mempamerkan corak permainan pantas. Namun beraksi di tempat sendiri, kita mesti tampilkan sesuatu kepada penyokong," katanya pada sidang media praperlawanan berkenaan di Petaling Jaya, hari ini.

Pengendali skuad kebangsaan itu berkata, beliau akan membuat sedikit rombakan dalam kesebelasan utama selepas pemain berpengalaman Indra Putra Mahayuddin terpaksa disisihkan berikutan kecederaan pada kaki kirinya.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang optimis pasukannya mampu meraih kejuaraan keempat kejohanan bola sepak serantau itu dengan berbekalkan kelebihan dua gol daripada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, Rabu lepas.

Bekas pemain kebangsaan Thailand yang lebih dikenali sebagai 'Zico' itu berkata, pasukannya akan mengekalkan corak permainan menyerang seperti yang dipamerkan pada perlawanan akhir pertama yang lepas.

"Perlawanan esok sudah tentu hebat kerana saya difahamkan tiket perlawanan sudah habis terjual. Kami belum selamat walaupun mempunyai kelebihan dua gol," katanya.

Kiatisuk berkata, beliau membariskan ramai pemain muda pada kejohanan berkenaan bagi mempersiapkan mereka menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan iaitu Sukan SEA di Singapura, pusingan kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 dan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

"Sebab itu, saya memberi mereka (pemain muda) peluang dan saya berpuas hati mereka menampilkan permainan yang baik," katanya.

Pada perlawanan akhir pertama Rabu lepas, Malaysia tewas 0-2. Skuad Harimau Malaya muncul juara edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.

Sementara, Thailand menjuarai kejohanan berkenaan pada 1996, 2000 dan 2002.  - Bernama

1 comment:

My Green Canyon said...

Semoga di kejuaraan berikutnya bisa menjadi juara.