HALAMAN

Saturday, December 13, 2014

Stadium Bukit Jalil venue final Piala AFF Suzuki

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan venue bagi perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara pasukan Harimau Malaya dan Thailand pada 20 Disember ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan venue paling sesuai memandangkan perlawanan itu penting dan mampu menampung jumlah penonton yang besar.

"Kita menjangkakan semua tiket habis dijual nanti. Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan venue terbaik kerana mampu menampung lebih ramai penonton iaitu seramai 90,000 penonton berbanding 70,000 penonton di Stadium Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan padang di stadium itu bersama-sama Setiausaha Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad.

Hamidin berkata, beliau dan Azzudin berpuas hati dengan keadaan rumput di padang stadium itu, yang dilihatnya lebih baik berbanding stadium di negara lain yang turut menjadi venue perlawanan Piala AFF Suzuki.

Sementara itu, Azzudin berkata beliau berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang disifatkannya sesuai untuk perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014.

"Walaupun ada beberapa kerja-kerja akhir, saya yakin dalam masa kurang seminggu, Stadium Nasional Bukit Jalil bersedia menjadi gelanggang penentuan juara Piala AFF Suzuki 2014," kata Azzudin.

Bekas Setiausaha Agung FAM itu berkata, daripada pemerhatiannya, padang Stadium Nasional Bukit Jalil adalah 40 peratus lebih baik jika dibandingkan dengan gelanggang perlawanan sebelum ini termasuk My Dinh National Stadium di Hanoi, Vietnam yang menjadi venue perlawanan separuh akhir kedua antara pasukan Harimau Malaya dan Vietnam Khamis lepas.

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, beliau rasa gembira apabila akhirnya Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue utama Piala AFF Suzuki 2014 setelah pihaknya bertungkus-lumus berusaha membaik pulih rumput sejak sebulan lepas.

"Kedua-dua pihak FAM dan AFF memberi lampu hijau bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil memenuhi piawaian dan semua dapat melihat sendiri bahawa keadaan rumput bertambah baik daripada sebelum ini," katanya.

Sebelum  ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin mengarahkan Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih rumput susulan kerosakan yang berlaku selepas perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 November lepas.

Kementerian mencuba dua jenis rumput iaitu 'Cow Grass' dan 'Bermuda Green Mountain' untuk padang stadium itu. – Bernama

No comments: