HALAMAN

Thursday, August 11, 2011

Ahli atau Anggota Persatuan

huhhh....
KEDUA-DUA  pasangan kata  dalam tajuk makalah ini memperlihatkan pengertian yang sama.  Kendatipun begitu, apabila dilihat secara lebih teliti, kelihatan pula perbezaan maknanya.
             Ahli dan anggota mempunyai perbezaan dan persamaan. Ayat contoh berikut memperlihatkan persamaan makna antara kedua-duanya:
  1. (a) Dia ahli Persatuan  Belia 4B.
(b) Dia anggota Persatuan Belia 4B.
             2.  (a) Ahli keluarga saya saling membantu.
                 (b) Anggota  keluarga saya saling membantu.

            Contoh-contoh yang berikut ini pula memperlihatkan ketidaksamaan makna antara kedua-duanya:
            3.(a) Dia seorang yang ahli dalam bidang sains fizik.

Kita tidak boleh mengatakan,
            3. (b) Dia seorang yang anggota dalam bidang sains fizik.

Demikian juga halnya dengan ayat  (4. a),
            4. (a) Sekalian anggota badan saya terasa sakit-sakit.

Kita tidak boleh mengatakan,
            4. (b) Sekalian ahli badan saya terasa sakit-sakit.

            Saya kira, kita berasa lebih senang menyebut anggota persatuan.  Hal ini secara demikian kerana ahli membawa makna  “pakar” , seperti dalam ayat contoh (3) di atas. Sesorang yang ahli dalam bidang tertentu itu, seperti ahli ekonomi, ahli politik, ahli bahasa, ahli perubatan tradisional dan sebagainya mempunyai kemahiran dalam bidangnya masing-masing.

 Bagi kita yang biasa dengan kegiatan berpersatuan, dalam perlembagaan persatuan terdapat peruntukan tentang jenis-jenis dan syarat-syarat serta yuran ahli.  Semua perkara ini diletakkan di bawah tajuk “keahlian” persatuan.

             Perkataan keahlian membawa makna kepakaran.  Demikianlah setiap kali kita melihat perkataan keahlian dalam mana-mana perlembagaan persatuan, kita menghubungkannya dengan konsep kepakaran.  Saya kira adalah wajar jika perkataan keanggotaan digunakan untuk menggantikan perkataan  keahlian bagi membincangkan hal-hal yang berhubung dengan syarat-syarat menjadi anggota sesebuah persatuan. 

             Selain persatuan ada pula kesatuan.  Kedua-dua perkataan ini berasal daripada perkataan satu.  Pada lumrahnya, perkataan yang berapitan “per-...-an” membawa maksud proses, manakala perkataan berimbuhan “ke-...-an” pula membawa maksud statik.   Tidak demikian halnya dengan kedua-dua perkataan yang di atas.  Kedua-duanya membawa maksud statik.  Yang menunjukkan maksud proses ialah “penyatuan”.  Misalnya, Penyatuan Korea Utara dengan Korea Selatan belum menjadi kenyataan lagi kerana kedua-dua buah negara itu mempunyai aliran siasah yang sungguh berbeza.
             Kalau sudah demikian, apakah perbezaan antara kedua-duanya?  Perbezaan antara kedua-duanya terletak dari segi undang-undang yang timbul kerana keperluan membezakan  antara konsep association dengan union.  Demikianlah maka perkataan persatuan digunakan untuk membawa maksud  association manakala perkataan kesatuan (seperti kesatuan sekerja) digunakan untuk maksud union (seperti trade union).

 Perbezaan ini jelas kelihatan apabila kita mendapati ungkapan seperti persatuan kebajikan dan kesatuan sekerja, tidak pula dikatakan kesatuan kebajikan; pun tidak dikatakan persatuan sekerja.

             Apakah perbezaan dari segi undang-undang antara persatuan dengan kesatuan?  Secara ringkas, persatuan berupa badan sosial dan kebajikan atau profesional.  Kesatuan pula berupa badan yang mewakili pekerja dalam satu-satu bidang pekerjaan tertentu yang mempunyai hak yang sah bagi memperjuangkan hak bagi pihak pekerja  dengan pihak majikan atau pihak pengurusan.  Kuasa yang tinggi yang boleh dilakukan oleh  kesatuan ialah, dengan persetujuan anggota-anggotanya (ahli), melancarkan mogok sebagai jalan terakhir untuk memperjuangkan tuntutan mereka terhadap pengurusan atau majikan.

             Demikianlah, perlunya kita meneliti sebelum menggunakan perkataan-perkataan yang pada imbas pertama kelihatannya sebagai seerti.

No comments: