HALAMAN

Tuesday, September 6, 2011

Arifin Zakaria dilantik Ketua Hakim Negara

Pelantikan Hakim Besar Malaya berkuat kuasa 12 September

KUALA LUMPUR: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata pelantikan terbabit diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengikut Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam, Najib berkata, Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal.

Selain itu, katanya, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin dan semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.

“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Zaki Tun Azmi di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara, khususnya dalam mentransformasikan badan kehakiman sehingga berjaya mengurangkan kes tertunggak di semua peringkat mahkamah, demi memberi keadilan yang pantas kepada semua pihak.

“Saya juga memaklumkan persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Kerajaan berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Najib berkata, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan. – BERNAMA

No comments: