HALAMAN

Tuesday, September 6, 2011

Ketua Pemuda UMNO Alor Gajah angkat sumpah Senator

Ketua Pemuda UMNO Alor Gajah angkat sumpah Senator

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah, Baharudin Abu Bakar, hari ini mengangkat sumpah sebagai Senator di depan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen di sini.

Pelantikan Baharudin sebagai Senator mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Baharudin, 42, yang memegang jawatan sebagai Pengarah Syarikat Rexaplus Sdn Bhd sejak 2006 adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Melaka.
"Saya anggap pelantikan ini adalah satu penghargaan besar terutamanya bagi generasi muda. Saya lihat ini merupakan satu titik permulaan bagi generasi muda untuk turut serta dalam menyuarakan pandangan untuk perlembagaan negara," kata Baharudin ketika ditemui selepas upacara itu.

Beliau yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka juga pernah menjadi wartawan foto di Variapop Group dan Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Abu Zahar dalam majlis berasingan menerima kunjungan perpisahan daripada Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Barety di pejabatnya di Bangunan Parlimen.

Barety akan menamatkan perkhidmatannya pada penghujung bulan ini.
"Secara peribadinya beliau berasa berpuas hati kerana beliau menyatakan banyak negara beliau berkhidmat dan Malaysia adalah satu-satunya negara yang amat selesa sekali," kata Abu Zahar selepas kunjungan itu.

Beliau berkata, Barety menyatakan bahawa cara pentadbiran kerajaan hari ini berada dalam satu landasan yang cukup baik terutamanya dari segi ekonomi dan perhubungan di antara negara-negara luar.

Katanya, Barety juga menyuarakan hasrat kerajaan Perancis untuk terus mempertingkatkan hubungan dua hala dengan Malaysia dalam semua bidang. - BERNAMA

No comments: