HALAMAN

Tuesday, September 6, 2011

SA Bandar Tangkak terbakar


SITI Salwa   (kanan) bersama guru Sekolah Agama Bandar Tangkak, Ledang meninjau  meja  terbakar pagi semalam.
SITI Salwa (kanan) bersama guru Sekolah Agama Bandar Tangkak, Ledang meninjau meja terbakar pagi semalam.
Perbuatan khianat dikaitkan punca bilik darjah musnah ketika perayaan

LEDANG: Perbuatan khianat dilakukan pencuri yang menceroboh Sekolah Agama (SA) Bandar Tangkak di sini, dipercayai menjadi punca sebuah bilik darjahnya musnah angkara kebakaran pagi kelmarin.
Kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi itu memusnahkan meja guru, papan hitam, siling dan bilik stor sebuah bilik darjah yang terletak di tingkat atas Blok B sekolah berkenaan.
Kemusnahan yang berlaku itu menjejaskan proses pembelajaran 60 murid Darjah Satu dan Empat yang bergilir menggunakan bilik berkenaan pada waktu pagi dan petang, apabila kembali bersekolah semalam, selepas seminggu bercuti sempena Aidilfitri.

Kebakaran yang berlaku itu disedari orang ramai yang mengunjungi Pasar Tani Tangkak yang terletak bersebelahan sekolah terbabit, apabila melihat kepulan asap daripada bangunan itu.

Guru Hal Ehwal Murid (HEM) SA Bandar Tangkak, Siti Salwa Othman, 41, berkata beliau bergegas ke sekolah sejurus menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

"Setibanya di sekolah, saya dapati sebuah bilik darjah di tingkat atas Blok B terbakar yang memusnahkan meja guru, papan hitam, siling dan bilik stor menyimpan peralatan.
“Kami bersyukur kejadian ini berlaku ketika cuti persekolahan dan ia dapat dikawal daripada merebak ke bangunan lain. Seramai 983 murid mengikuti pembelajaran sesi pagi dan petang di sekolah ini dan bilik darjah yang terbakar itu digunakan murid Darjah Satu dan Empat.

"Saya tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat kerana ada kesan peralatan bilik darjah digeledah, selain pokok bunga dirosakkan. Api merebak mungkin berpunca daripada banyak buku dalam laci meja guru yang dibakar sebelum marak memusnahkan papan hitam dan bahagian lain dalam bilik darjah tersebut," katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu pertama kali berlaku di sekolah terbabit selepas sebelum ini pejabat pentadbiran beberapa kali dipecah masuk pencuri.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kebakaran itu pada jam 11.37 pagi.

Katanya, sebuah jentera bersama empat anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Yusof Muniron, dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran dalam masa lima minit.

"Api berpunca daripada longgokan kertas yang terbakar di meja guru serta bilik stor,” katanya.

No comments: