HALAMAN

Sunday, September 11, 2011

Misi bawa pulang mangsa sindiket kad kredit palsu



KUALA LUMPUR - Kelab Putera 1Malaysia akan berlepas ke Ho Chi Minh City, Vietnam, penghujung bulan ini untuk misi membawa pulang Normazawati Wong Abdullah, 49, mangsa sindiket pemalsuan kad kredit ke Malaysia.

Anak Normazawati, Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 24, berkata, ibunya terkandas di negara itu selepas dianiaya sindiket pemalsuan kad kredit dan dipenjara atas kesalahan itu pada 2004, namun sudah dibebaskan pada 27 Januari lalu.

“Saya tidak pernah berjumpa dengan ibu sejak tujuh tahun lalu. Walaupun telah dibebaskan daripada Penjara Thu Duc wilayah Binh Thuan, Ho Chi Minh, ibu perlu membayar denda VND 373,965,810 (RM60,000) kepada pihak berkuasa Vietnam untuk membolehkannya pulang ke tanah air,” katanya.

Siti Ansyakinah berkata, dia telah berjumpa dengan pelbagai pihak bagi meminta bantuan, tetapi menemui jalan buntu.

“Akhirnya Kelab Putera 1Malaysia sudi membantu membawa pulang ibu serta menyelesaikan denda tersebut,” katanya.

Pada 2004, Normazawati pergi ke Ho Chin Minh, Vietnam, bersama empat orang rakan di mana dia dijanjikan pekerjaan.

Apabila sampai di sana, mangsa diberikan kad kredit oleh seorang yang dikenali sebagai Michael dan diminta membeli peralatan elektrik dalam jumlah yang besar dengan menggunakan kredit kad palsu tersebut.

“Ibu diugut dan sekiranya tidak berbuat demikian, keluarga akan dicederakan oleh sindiket itu. Kini keadaan ibu tidak sihat dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk menampung kos rawatan dan kos sara hidup yang berjumlah lebih kurang RM2,500,” katanya pada sidang media, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan boleh disalur terus ke akuan Maybank Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 164838012669 atau hubungi pejabat Kelab Putera 1Malaysia di talian 1300881113.

No comments: